BANGGA...segulung ijazah bagai membalas segala payah jerih yang terpaksa ditanggung sepanjang tempoh pengajian.
REALITINYA mahasiswa adalah kelompok terpelajar yang boleh menghasilkan keputusan cemerlang namun kecenderungan melebihkan keseronokan serta budaya belajar yang tidak konsisten menjadi penyebab pencapaian merudum.
Biarpun faham tanggungjawab yang dipikul di menara gading, mereka bagaikan alpa dan terleka menikmati kebebasan baru dikecapi, malah bijak mencipta alasan untuk menutup kesalahan.
Ada juga bertindak ‘biadab’ meletakkan kesalahan di bahu orang lain.
Masyarakat pula apabila sering diperkotak-katikkan, kini mengambil pendekatan tidak percaya dan berpendapat golongan ini memang suka mencipta masalah dan membazir masa dengan perkara tidak berfaedah.
Pertikaian demi pertikaian akhirnya tetap mencipta konflik. Namun persoalannya mengapa mahasiswa ini tidak mampu cemerlang, tidak mempunyai budaya belajar yang konsisten serta mudah tersungkur?
Timbalan Rektor Akademik dan Perancangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Md Tahir Md Azhar, berkata sikap mahasiswa yang menjadikan budaya belajar sebagai ‘kelas kedua’ dan tidak serius punca kebanyakannya gagal memperoleh keputusan cemerlang.
Menurutnya, golongan itu lebih rela mengutamakan keseronokan dan mudah terpedaya dengan pujukan rakan serta persekitaran hingga tidak kisah melupakan tanggungjawab di menara gading, malah demi memujuk hati menganggapnya sebagai ‘takdir’.
“Ini bukan suratan takdir, tetapi kesalahan sendiri kerana tidak mahu belajar bersungguh-sungguh. Sebagai mahasiswa, sepatutnya meletakkan kepentingan belajar di tangga teratas kerana itu tujuan sebenar ketika memasuki menara gading.
“Bukannya alpa dibuai angan-angan atau melakukan perkara tidak berfaedah. Ini soal masa depan dengan universiti menjanjikan penghijrahan hidup lebih jika mahasiswa tidak tewas mengikut nafsu dan berpegang pada tujuan utama.
“Sebaliknya, jika hanya inginkan nama atau membazir masa, buatlah pilihan lain lebih awal supaya tidak membazirkan masa, tenaga, wang dan menghancurkan harapan ibu bapa yang menaruh harapan tinggi,” katanya.
Isu pencapaian mahasiswa sudah lapuk namun tidak pernah habis diperkatakan biarpun masyarakat juga bagaikan sudah muak memberi komentar dan pandangan bagi mengubah keadaan.
Apatah lagi, apabila ditegur, mereka keras kepala, menjawab dan melawan, malah berani pula melabelkan masyarakat penyibuk, kuno serta berat sebelah dan suka mencari kesalahan biarpun teguran itu bertujuan baik.
Dr Md Tahir berkata, kebanyakannya merasakan diri sudah selamat dan berada dalam zon selesa menyebabkan mudah terleka selain ingin menikmati erti kebebasan berjauhan dengan keluarga.
Mereka, katanya, sering menjadikan universiti sebagai tempat mencari atau meniru identiti dan membina ego kerana merasakan diri sudah melepasi tahap kongkongan juga selesa dengan sistem pengajian lebih fleksibel.
“Bagi mereka yang pertama kali terlepas daripada kongkongan keluarga, universiti menjadi tempat terbaik untuk menguji pasaran diri. Pada masa sama beranggapan sistem pengajian ditempuh itu lebih mudah sedangkan sebenarnya ia lebih sukar.
“Ini bukan masa atau tempatnya mengharapkan belas ehsan pensyarah sebaliknya perlu berusaha dengan kudrat serta fikiran sendiri. Semuanya perlu dicorakkan mengikut akuan dan kehendak masing - masing.
“Malangnya, ramai menjadi mangsa kerana terpedaya dengan budaya ini terutama mereka yang taksub terhadap kebebasan diri.
“Akhirnya kerana salah percaturan, hanya mampu mendapat keputusan sederhana sedangkan pada awalnya ada yang memilik keputusan cemerlang,” katanya mengakui itu bukan jaminan mereka boleh mengekalkan kecemerlangan hingga tamat pengajian.
Katanya: “Konteks ini sangat subjektif kerana ada yang berbekalkan keputusan cemerlang pada peringkat awal akhirnya menjadi mahasiswa sederhana, begitu sebaliknya.
“Mereka bukan tidak pandai namun disebabkan sangat teruja menjalani hidup baru, akhirnya terpaksa mengorbankan masa depan.
“Universiti hanya menyediakan peluang dan bukan penyebab kegagalan atau kejayaan seseorang,” katanya.
Beliau juga mengakui jati diri kebanyakan mahasiswa hari ini rapuh selain mempunyai pendirian seperti lalang apabila berdepan pujukan terutama rakan yang menjadi faktor penyumbang utama kegagalan.
Katanya, mahasiswa perlu mempunyai prinsip hidup, tegas membut keputusan, tidak perlu berdolak dalik serta perlu bijak memilih rakan.
“Namun paling ramai ialah mereka yang bijak memanipulasikan orang lain demi kepentingan sendiri. Dengan kata lain, mempengaruhi rakan lain agar mengikut rentak mereka supaya sama-sama bergembira dan melupakan pelajaran.
“Inilah golongan paling bahaya kerana pengikutnya sangat ramai serta mewakili kelompok terbesar di institusi. “Mereka belajar seperti orang lain, tetapi tidak kisah mengenai keputusan biarpun hanya cukup makan.
“Apa yang penting lulus, tidak perlu mengulang atau membayar sendiri yuran pengajian.
“Budaya seperti ini ibarat barah yang semakin menular dan perlu diberi perhatian serta tindakan serius supaya kualiti mahasiswa tidak dipersoalkan,” katanya turut mengakui kurang kefahaman mengenai cabaran dunia selepas pengajian membuatkan mereka mengambil mudah.
“Ada beranggapan, dengan segulung ijazah sudah boleh menjamin masa depan biarpun keputusannya tidak cemerlang.
“Mereka dikategorikan golongan tidak peka dan tertipu dengan tanggapan peluang pekerjaan sentiasa ada.
“Majikan juga mempunyai kuasa memilih dan tidak mudah terpengaruh dengan graduan yang hanya pandai berkata - kata, tetapi tidak mempunyai kualiti. Biarpun mungkin terpilih, namun jumlahnya boleh dihitung.
“Dengan keputusan itu, bagaimanakah mereka akan ‘menjualnya’ kepada pihak industri mahupun berdepan dengan ribuan lagi graduan yang sama-sama berjuang mencari pekerjaan? Adakah warga universiti terfikir kemungkinan ini atau masih terus diulit mimpi?” soalnya.
INFO
Apa pendapat korang??
No comments :
Post a Comment