Jun 17, 2012

Perigi Cari Timba

Kita seringkali mendengar dan terbiasa pada pepatah ini "perigi cari timba". Bagaimana rupa dan bentuk perigi yang mencari timba? Dalam pepatah ini menerangkan bahawa perigi itu simbolik kepada wanita atau perempuan dan timba itu simbolik kepada lelaki. Saya ada meminta pendapat dari beberapa rakan mengenai pepatah ini. Terima kasih kepada rakan tersebut. 
Menurut pendapat rakan perempuan saya "Dalam konteks ini, memang tidak salah tetapi perempuan perlu meletakkan maruah dia pada tahap tertinggi yang dia boleh. Sebab jikalau perempuan tersebut mencari lelaki, ditakuti lelaki itu akan lebih jauh dari perempuan tersebut atau lelaki itu akan menganggap perempuan senang untuk dimiliki".
Menurut pendapat rakan lelaki saya pula "Perkara ini tidak salah. Asalkan tahu cara and masa untuk menggunakannya. Cuma lelaki tidak suka perempuan yang terhegeh-hegeh terhadap lelaki yang diminati. Apabila terhegeh-hegeh, lelaki tersebut akan menyampah. Apabila sudah menyampah, lelaki itu akan menjauhkan diri dari perempuan itu. Itu yang buat lelaki lari dari perempuan itu".
Dalam peradaban dan budaya Melayu, perempuan mencari lelaki adalah sesuatu yang memalukan. Ini kerana masyarakat kita telah dididik tentang harga diri seorang perempuan yang tinggi dan bernilai. Perempuan dalam budaya Melayu ibarat epal di puncak tertinggi pohon. Makin tinggi epal itu, makin sukar dicapai. Jadi, orang lelaki akan berusaha mendapatkan epal yang tinggi kerana ia belum diusik lagi. Itu perumpamaan yang sering digunakan dalam peradaban Melayu..  
Dalam peradaban dan budaya Asia Timur (China, Korea dan Jepun), perempuan mencari lelaki adalah sesuatu yang sangat biasa. Ini kerana masyarakat mereka telah diajar untuk berusaha mendapatkan yang terbaik untuk diri mereka. Dalam masyarakat mereka, perempuan dan lelaki ada hak untuk meluahkan perasaan masing-masing.. Jikalau perempuan tersebut sukar mendapatkan suami atau kekasih, perempuan tersebut boleh menggunakan khidmat orang perantaraan. Hal ini dapat dibuktikan melalui drama-drama mereka yang sering ditayangkan di televisyen seperti Gokusen, My Sassy Girl ChunHyang dan It Started with a Kiss. Ini kerana drama dan filem merupakan gambaran sebenar kepada budaya negara tersebut.
Dalam peradaban dan budaya Arab, perempuan mencari lelaki adalah sesuatu yang tidak mustahil. Malah, ia merupakan amalan terpuji yang boleh dilakukan dalam Islam. Hal ini kerana lelaki adalah seorang imam, manakala perempuan adalah makmum. Seorang makmum harus memilih imam yang soleh baginya kerana imam tersebut akan mendidik dan membentuk akidah makmumnya agar menjadi wanita solehah. Lazimnya, perempuan tersebut akan menggunakan orang ketiga atau orang perantaraan untuk menyampaikan perasaannya kepada lelaki yang diminati. Sebagai contoh yang boleh diambil ialah Siti Khadijah bersama Rasullah S.A.W.
Kesimpulannya adalah perempuan dan lelaki juga mempunyai perasaan terhadap pasangan berlainan jantina. Tidak semestinya hanya lelaki boleh mencari perempuan namun perempuan juga boleh mencari lelaki.. Perkara ini tiada salah dan tiada larangan mengenainya dari segi agama dan budaya. Namun di Malaysia, isu ini masih menjadi perkara sensitif bagi sesetengah masyarakat terutama golongan warga emas. Pada pandangan saya, perempuan boleh meluahkan perasaan terhadap lelaki mengikut cara tersendiri namun perempuan tersebut harus memelihara maruah dan harga diri agar tidak dipandang rendah oleh lelaki dan orang luar.
p/s - ini bukan copy-paste entry sbb ini memang entry aku tok blog assignment group aku (http://titas223.blogspot.com/).. aku saja letak kat sini sbb ini merupakan pendapat peribadi terhadap perigi cari timba untuk dikongsikan bersama.. :)

jangan lupa komen dan like.Enjoyyy!!!.(:

No comments :